TOPIK
2
|
REKA BENTUK PENGAJARAN
|
SINOPSIS
Tajuk ini akan membincangkan konsep reka
bentuk pengajaran dan juga kepentingan reka bentuk pengajaran. Tajuk ini
juga menghuraikan model ADDIE dan model ASSURE dan aplikasinya dalam pengajaran –pembelajaran serta reka bentuk
mesej.
HASIL
PEMBELAJARAN
Dengan melaksanakan aktiviti-aktiviti pembelajaran tajuk ini, diharapkan guru akan dapat:
i. Mengenal ciri-ciri reka bentuk
pengajaran dan pelbagai jenis reka bentuk pengajaran.
ii.
Dua bentuk reka bentuk pengajaran yang utama dibincangkan.
iii.
Mengenal dan menghuraikan reka
bentuk mesej.
2.1 Konsep Reka Bentuk Pengajaran
2.1.1 Pengertian
Proses penyampaian atau pengajaran
merupakan satu aktiviti yang penting yang mesti dilaksanakan dalam pendidikan
dan latihan. Setiap proses pengajaran perlu mempunyai matlamat yang nyata dan
jelas dan boleh dicapai. Matlamat ini akan tercapai sekiranya ada perancangan yang lengkap dan sistematik dimana hasil
pembelajaran dapat diukur. Justeru, reka
bentuk pengajaran merupakan satu catatan lengkap menunjukkan bahawa proses pengajaran dan pembelajaran
boleh berlaku dengan terancang dan teratur.
Secara khususnya, reka bentuk pengajaran
menetapkan apa yang hendak diajar atau diukur serta diuji dan bagaimana proses pembelajaran itu
berlaku sehingga objektif tercapai. Mengikut Dick & Reiser (Wah Wan Ali et
al. 2008) ,reka bentuk pengajaran ialah
satu proses yang sistematik untuk mereka bentuk, membangun, melaksana dan
menilai pengajaran.
Terdapat juga model reka bentuk
pengajaran yang lain seperti:
•
ASSURE
•
ADDIE
•
9S
Gagne Events
•
Dick
& Carey
•
Water
Fall
•
ARCS
Model of Motivational Design (Keller)
•
Kemp
Design Model
•
Organizational Elements
Model
Fikirkan
Apakah tujuan mereka bentuk pengajaran? Sejauh manakah reka bentuk pengajaran penting
dalam proses pengajaran dan pembelajaran? Apakah proses yang terlibat semasa
mereka bentuk pengajaran?
2.1.2 Peranan dan Kepentingan
Mengikut
Dick & Reiser (Wah Wan Ali et al. 2008). , Konsep Reka Bentuk Pengajaran ialah satu proses yang sistematik untuk
mereka bentuk, membangun, melaksana dan menilai pengajaran.
Proses
reka bentuk pengajaran merupakan satu proses yang sistematik yang merangkumi
tiga peringkat yang penting iaitu penentuan objektif, perancangan pengajaran
dan pembelajaran dan penilaian serta refleksi pengajaran dan pembelajaran. Ia
menterjemahkan prinsip-prinsip umum pengajaran dan pembelajaran kepada bentuk
perancangan bahan dan penyampaian penbelajaran.
Dengan lain perkataan, ia merupakan satu proses menyediakan panduan
merancang dan mengendalikan pengajaran yang memerlukan penggunaan media pengajaran.
Reka
bentuk pengajaran telah wujud empat dekad
dahulu dan kini terdapat banyak
jenis model reka bentuk
pengajaran. Walau bagaimanapun,
terdapat enam perkara asas dalam sesuatu proses pengajaran iaitu:
- menentukan
keperluan murid
- menentukan
matlamat dan objektif
- membina
prosedur penilaian
- mereka
bentuk dan memilih strategi
penyampaian
- memcuba
sistem pengajaran
- menilai
keseluruhan sistem
Terdapat
reka bentuk pengajaran yang berskala besar dan kecil. Gustafon (Wah Wan Ali et
al. 2008) telah
membahagikan model kepada 3 tumpuan:
- model berorientasikan
sekolah
- model berorientasikan
produk
- model berorientasikan
sistem
Tujuan utama reka bentuk adalah untuk menghasilkan
satu pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Mengikut Dick dan Reiser
(Wah Wan Ali et al.2008)., pengajaran yang berkesan membolehkan murid
memperoleh ilmu dan kemahiran, selain
daripada sikap yang diharapkan. Satu pengajaran yang berjaya mampu menarik
perhatian dan menaruh penghormatan murid terhadap pengajar. Secara tidak
langsung, ia membantu menghasilkan guru yang kompeten dan dedikasi serta inovatif.
Perbincangan
Apakah perkara asas yang merangkumi satu
proses pengajaran?
2.2 Model Reka Bentuk Pengajaran
2.2.1 Model ASSURE
Model ASSURE merupakan model reka bentuk berasaskan
bilik darjah. Ia dipelopori oleh Heinich et. Al (Wah
Wan Ali et al.2008). Ia mendapatkan
namanya hasil akronim huruf awal A.S.S.U.R.E.
Ia
melibatkan enam langkah, iaitu analisis ciri-ciri murid, nyatakan objektif pengajaran
dan pembelajaran, pilih strategi, teknologi dan media bahan yang sesuai,
gunakan teknologi, bahan dan media pengajaran
dan pembelajaran tersebut, libatkan murid dalam proses pembelajaran,dan nilai
serta semak semula keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.
A
|
Analyse
|
|
S
|
State
|
|
S
|
Select
|
|
U
|
Utilise
|
|
R
|
Require
|
|
E
|
Evaluate
|
2.2.1.1 Analyse
learner (Analisis murid)
Sebelum memulakan sesuatu pengajaran dan pembelajaran,
guru perlu mengetahui ciri-ciri umum murid seperti umur, darjah/tingkatan, latarbelakang murid ,
tahap sosio ekonomi dan lain-lain lagi. Melalui rekod murid dan berinteraksi
secara langsung dengan murid, guru boleh memperoleh maklumat yang lengkap mengenai
seseorang murid. Melalui cara-cara ini, guru dapat menggunakan teknologi yang
bersesuaian dan menyediakan bahan dan media pengajaran berdasarkan pengalaman
lepas murid.
Di luar negara seperti Amerika Syarikat, guru-guru wajib
mengetahui keperluan setiap orang murid seperti tahap penguasaan murid,
pengetahuan lepas murid supaya mereka dapat merancang reka bentuk pengajaran
yang bersesuaian dengan tahap penguasaan
murid yang terdiri daripada pelbagai jenis gaya pembelajaran dan
akhirnya tercapai objektif pengajaran yang ditetapkan. Pendek kata guru perlu mengetahui sejauh mana
pengetahuan lepas telah dikuasai oleh
murid dan mengaitkan dengan pengajaran yang akan disampaikan nanti. Guru boleh
menjalankan ujian pra ke atas pengetahuan lepas murid.
Setiap murid mempunyai gaya pembelajaran tersendiri. Ada
murid yang suka belajar secara bersendirian, ada yang suka berbincang dengan
kawan atau secara berkumpulan, ada yang suka belajar di kawasan yang sunyi dan
tenang, ada yang suka belajar di kawasan terang, ada yang suka belajar dengan
adanya iringan muzik, ada yang suka
belajar melalui pemerhatian dan membuat kajian dan sebagainya.
Gaya pembelajaran merujuk kepada trait psikologi
seseorang murid memproses, mentafsir, mengumpul maklumat terhadap pengetahuan
dan kemahiran dan seterusnya bertindak balas dengan persekitarannya.
Ia merujuk kepada cara yang paling
berkesan seseorang murid menguasai pembelajaran. Mengikut model Dunn&Dunn (Wah
Wan Ali et al. 2008) , stail pembelajaran
merujuk kepada bagaimana seseorang murid memproses maklumat dan mengekalkan
maklumat baru melalui lima ransangan iaitu persekitaran, emosi, sosial,
fisiologi dan psikologi. Mengikut model Honey & Mumford (Wah Wan Ali et al.
2008)., stail pembelajaran ialah penerangan sikap dan tingkahlaku yang
diamalkan oleh seseorang murid terhadap cara belajar masing-masing.
Pengetahuan tentang gaya pembelajran murid membolehkan
guru mengendalikan kelas dengan lebih berkesan dan berjaya dalam proses pengajaran
dan pembelajaran.
2.2.1.2 State objectives (Nyatakan
objektif pengajaran dan pembelajaran)
Pembelajaran membawa perubahan dari segi penguasaan
pengetahuan, kemahiran dan tingkah laku. Seperkara itu, apa yang dipelajari itu
perlu mempunyai objektif yang jelas dan konkrit
supaya objektif pembelajaran dapat diukur pada
akhir proses pengajaran dan
pembelajaran. Contohnya, ‘pada akhir pengajaran dan pembelajaran, murid dapat
menyenaraikan lima contoh haiwan
bertulang belakang.’
Penyataan objektif pembelajaran perlu eksplisit dan jelas.
Ia dapat membantu guru menilai sejauh manakah
objektif pembelajaran atau
kemahiran yang telah ditentukan dapat dikuasai oleh murid.
Pengubahsuaian ke atas kaedah atau strategi boleh dilakukan sekiranya objektif
tidak tercapai.
Penyataan objektif dapat membantu guru mengukur perubahan
tingkah-laku ke atas murid dan murid
patut mengetahui apakah harapan guru terhadap mereka. Penggunaan istilah
yang menunjukkan perubahan tingkah laku adalah penting. Antaranya perkataan yang sesuai ialah melabelkan, membanding
bezakan, menyenaraikan, menyebut, mengkategorikan, merumus, menyelesaikan
masalah.
Penyataan objektif membantu guru juga dalam pemilihan
kaedah, bahan dan media pengajaran serta teknologi yang akan digunakan dalam
proses pengajaran dan pembelajaran.Apakah tahap pencapaian minimum yang boleh
digunakan untuk mengukur perubahan tingkah laku seseorang murid?
Tahap pencapaian minimum ini merujuk kepada darjat
ketepatan, kuantiti dan kualiti serta tempoh masa yang ditetapkan. Penulisan tahap pencapaian boleh ditulis
dalam bentuk kuantitatif dan kualitatif. Penulisan bentuk kuantitatif boleh
dijelaskan dengan penggunaan angka,
peratusan dan skor mentah. Contohnya, di akhir pengajaran dan pembelajaran,
murid boleh ‘menjawab lapan daripada sepuluh soalan objektif’. Penulisan
kualitatif pula sukar diukur kerana kriteria susah ditentukan.
Objektif pengajaran dan pembelajaran dapat dikategorikan
kepada tiga domain yang utama iaitu:
·
domain
kognitif (keupayaan berfikir)
·
domain
efektif (sikap dan perasaan)
·
domain
psikomotor (kemahiran fizikal) dan domain interpersonal
AKTIVITI
2.2.1.3 Select
technology, strategies, media and materials
(Pilih teknologi, kaedah media dan
bahan yang sesuai)
Terdapat
empat langkah dalam proses ini iaitu:
·
menentukan
jenis teknologi yang sesuai digunakan
·
memilih
kaedah yang sesuai untuk pengajaran dan pembelajaran
·
memilih format media yang sesuai ke atas kaedah yang
dipilih
·
memilih,
mengubahsuai dan mereka bentuk media yang dipilih
2.2.1.3.1 Menentukan jenis
teknologi yang sesuai
Pemilihan penggunaan
teknologi seharusnya berdasarkan kepada ciri-ciri murid dan gaya pembelajaran
murid. Pada masa yang sama juga, guru perlu memikirkan kemudahcapaian bahan/resos yang hendak
digunakan. Kriteria kefleksibelan teknologi perlu dipertimbangkan berdasarkan
aktiviti yang akan dijalankan. Penggunan teknologi komputer sesuai
diaplikasikan untuk aktiviti projek, pembentangan, simulasi dan sebagainya.
2.2.1.3.2 Memilih kaedah
Sekiranya ditanya, apakah
kaedah yang paling sesuai digunakan dalam satu proses pengajaran dan
pembelajaran guru? Jawapannya ialah lebih daripada satu kaedah. Tiada satu
kaedah khas yang digunakan untuk setiap peringkat perkembangan pengajaran.
Kaedah simulasi, lakonan boleh digunakan semasa set induksi. Kaedah
sumbangsaran boleh digunakan semasa guru mengemukakan satu-satu soalan dan meminta murid menjawab.
Setiap saranan jawapan akan diterima tanpa bantahan daripada guru. Kaedah
latihtubi boleh digunakan untuk memperkukuhkan sesuatu kemahiran baru yang
telah disampaikan oleh guru. Pemilihan kaedah hendaklah diasaskan kepada
objektif pengajaran, pengetahuan sedia
ada murid, ciri-ciri murid dan gaya
pembelajaran murid.
2.2.1.3.3 Memilih
format media dan bahan sumber
Format media merujuk kepada
bagaimana bentuk maklumat dipaparkan.
Contoh format media seperti gambar, slaid, peta, lukisan, transperansi, bahan
tiga dimensi seperti papet, wayang kulit, boneka, akuarium, klip video, audio, pakej persembahan
multimedia dan lain-lain lagi.
Pemilihan format media
hendaklah berdasarkan domain objektif, kumpulan murid, pengalaman murid, dan
bentuk maklum balas yang akan dihasilkan.
Bahan sumber pengajaran dan
pembelajaran merujuk kepada isi pelajaran yang menjadi fokus pembelajaran.
Bahan sumber ini boleh dalam bentuk petikan, teks,artikel dan sebagainya.
Kriteria pemilihan bahan
sumber boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu:
·
menggunakan
bahan sumber yang tersedia ada
·
mengubah
suai bahan sumber yang ada
·
mereka
bentuk bahan sumber yang baru
2.2.1.3.4 Memilih, mengubahsuai dan mereka bentuk media
yang dipilih
Sekiranya
anda menghadapi masalah kekurangan bahan media ataupun media yang
dipilih
kurang sesuai untuk proses pengajaran dan pembelajaran, anda boleh mereka
bentuk
semula media yang dipilih atau menghasilkan media baru.
Terdapat
tujuh perkara yang perlu diambil kira, iaitu:
·
objektif
·
kumpulan
sasaran murid
·
masa
·
kos
·
fasiliti
·
kemahiran/kepakaran teknikal
·
peralatan
yang diperlukan
Pemilihan
bahan sumber yang tersedia ada perlu mengikut beberapa kriteria seperti
di bawah.
·
Menepati
kurikulum
·
Maklumat
tepat, boleh dipercayai dan terkini
·
Bahasa
yang jelas dan mudah difahami
·
Menarik
minat dan mencetuskan motivasi murid
·
Menarik
penglibatah murid
·
Mempunyai
kualiti
·
Ada
bukti tentang keberkesanan penggunaan
·
Bebas
daripada bias
·
Mempunyai
panduan penggunaan/ manual penggunaan
Perbincangan
Senaraikan
tempat/agensi-agensi yang boleh membuat rujukan ke atas bahan sumber yang
tersedia ada..
2.2.1.4 Utilize technology, media
and materials (Gunakan teknologi, bahan
dan media pengajaran dan pembelajaran tersebut)
Penggunaan
bahan sumber perlu tepat pada tempat dan
masanya. Sebelum penggunaan, pastikan anda semak langkah-langkah seperti di
bawah:
·
semak
bahan sumber sebelum digunakan di dalam kelas.
·
sediakan
bahan untuk penggunaan di dalam kelas
·
sediakan
persekitaran untuk membolehkan pengguanan yang optimum
·
sediakan
murid dari segi emosi dan fizikal untuk mendapatkan manfaat daripada bahan sumber
·
sediakan
pengalaman pembelajaran untuk murid
2.2.1.5 Require learner participation
(Libatkan murid dalam proses pembelajaran)
Guru
boleh merancangkan sesi pengajaran-pembelajaran yang melibatkan murid melalui
kaedah berpusatkan murid. Contoh aktiviti berpusatkan murid seperti menyediakan
projek. Ini akan dapat memotivasikan murid dan membolehkan guru memgukur
perubahan tingkah-laku murid.
2.2.1.6 Evaluate
and revise (Nilai serta semak semula keberkesanan pengajaran dan pembelajaran)
Penilaian semasa dan selepas pengajaran dan pembelajaran
membolehkan guru membuat penambahbaikan dan pembetulan serta menjalankan
tindakan susulan yang sesuai melalui amalan refleksi.
Melalui refleksi, guru perlu melihat semula sejauh
manakah perancangan, pelaksanaan pengajaran, objektif pengajaran dan perubahan
tingkah laku murid tercapai?
Melalui proses ini guru dapat
menyediakan pembelajaran yang lebih berkesan dan bermutu pada masa akan datang.
Internet
1. http://www.instructionaldesign.org/
2. http://www.instructionaldesign.org/models/index.html
3. http://www.instructionaldesign.org/models/assure.html
2.4.1 Model ADDIE
Model
ini menjadi asas kepada kebanyakan model reka bentuk.Kebaikan model ini ialah
penambahbaikan yang berterusan boleh dibuat berasaskan maklumat yang dikumpul.
Ia juga menjimatkan masa kerana masalah
dapat diatasi sebaik sahaja dikenalpasti. Ia mendapatkan namanya hasil akronim huruf awal ADDIE.
A
|
Analysis
|
D
|
Design
|
D
|
Development
|
I
|
Implementation
|
E
|
Evaluation
|
2.4.1.1 Analysis
Phase (Peringkat Analisis)
Guru perlu kenal pasti sasaran kumpulan murid,
ciri-ciri pembelajaran murid, objektif pengajaran, tempoh masa yang digunakan,
strategi pengajaran yang dipilih dan pengalaman lepas murid.
2.4.1.2 Design
phase (Peringkat Reka Bentuk)
Tumpuan akan diberikan kepada perancangan pengajaran dan pembelajaran,
penentuan objektif pembelajaran, penyampaian isi kandungan, alat pentaksiran
yang akan digunakan, pemilihan jenis media yang sesuai dan juga latihan
pengukuhan dan pengayaan yang akan diberikan ke atas murid mengikut tahap
penguasai kemahiran yang telah disampaikan.
2.4.1.3
Peringkat Perkembangan
Peringkat ini melibatkan pemilihan isi kandungan dan penggunaan
teknologi.
2.4.1.4
Peringkat Implementasi
Ia melibatkan keseluruhan proses pengajaran- pembelajaran iaitu
daripada pemahaman tentang kurikulum, penentuan hasil pembelajaran, pemilihan strategi pengajaran,
pemilihan media pengajaran, penggunaan alat pentaksiran yang sesuai dan bentuk
ujian.
2.4.1.5
Peringkat Penilaian
Merangkumi dua bahagian iaitu penilaian formatif dan
penilaian sumatif. Penilaian formatif dijalankan di sepanjang proses pengajaran
dan pembelajaran dan penilaian sumatif akan dijalankan pada penghujung penggal
persekolahan dalam bentuk ujian untuk
domain kognitif dan bertujuan untuk
mendapat maklumbalas daripada murid.
Internet
1.
http://www.instructionaldesign.org/models/addie_weaknesses.html
2.
http://www.instructionaldesign.org/models/dick_carey_model.html
3.
http://www.umich.edu/~ed626/Dick_Carey/dc.html
Perbincangan
Bincang
dengan rakan anda kelebihan-kelebihan yang ada pada reka bentuk pengajaran
ASSURE dan Dick & Carey.
2.3 Reka Bentuk Mesej Dalam Proses Pengajaran
Dan Pembelajaran
Media
pengajaran memainkan peranan yang sangat penting dalam reka bentuk pengajaran.
Media inilah yang menjadi perantara di antara penyampai mesej dan penerima
mesej. Mengikut Asociation for Educational
Communication and Technology (AECT)2004) (Wah Wan Ali et al.2008) , media ialah segala
bentuk atau saluran yang digunakan untuk menyampaikan pesanan. Media di sini
membawa maksud penyamapaian pengajaran-pembelajaran.
Justeru,
segala media dalam bentuk audio, video,
grafik, suara dan bahasa
penyampaian guru adalah digolongkan
dalam kategori media pengajaran.
Mengikut
Torkelson (Wah Wan Ali et al. 2008)., media boleh dibahagikan kepada tiga
komponen iaitu:
- Mesej
- Bentuk
mesej
- Saluran
mesej

Rajah
4: Konsep Media Torkelson (1972)
i. Mesej
Mesej
ialah isi kandungan yang hendak
disampaikan oleh penyampai. Mesej boleh dalam bentuk makluman, motivasi,
peringatan, bahasa isyarat dan sebagainya.
ii. Bentuk mesej
Merujuk
kepada persoalan bagaimana mesej
disampaikan. Ia boleh dalam bentuk gambar, jadual, carta, simbol,
pengumuman, dan sebagainya.
iii. Saluran mesej
Merujuk kepada alat fizikal yang digunakan
untuk menyampaikan sesuatu mesej . Mesej
boleh disampaikan dalam bentuk elektrikal,
mekanikal, digital dan sebagainya. Contoh alat yang boleh digunakan termasuklah
radio, televisyen, projektor ‘Overhead’,
projektor, LCD camera digital, video camera dan sebagainya.
Dalam proses pengajaran-pembelajaran, reka bentuk mesej
memainkan peranan yang penting kerana ia memastikan mesej yang disampaikan oleh
guru difahami oleh penerima/murid. Penggunaan media perlu bersesuaian dengan
pengalaman lepas murid untuk mempercepatkan penyampaian mesej.
Menurut
Edgar Dale (Wah Wan Ali et al. 2008) ,
murid mempelajari sesuatu kemahian baru melalui pengalaman konkrit. Dengan
adanya pengalaman langsung, iaitu murid
sendiri yang melalui proses perbuatan,
proses mengamati, akhirnya murid akan
berjaya mentafsirkan maklumat yang abstrak ke bentuk konkrit.
Sekiranya
murid itu mempelajari sesuatu kemahiran baru melalui bahasa verbal sahaja,
maka semakin sedikit pengalaman yang
dilaluinya. Secara ringkasnya, media yang sesuai digunakan dalam
pengajaran-pembelajaran bermula daripada pengalaman langsung hingga ke
penerangan verbal. ( rujuk Rajah 5)

Rajah
3: Kon Pengalaman Edgar Dale (Wah Wan Ali et al. 2008)
Perbincangan
Penilaian'
merupakan salah satu langkah yang terdapat dalam model ADDIE. Berdasarkan
pengalaman anda sebagai guru, bincangkan dengan rakan anda mengenai bentuk
penilaian yang boleh dilaksanakan dan terangkan ciri-ciri setiap bentuk
penilaian dengan memberikan sekurang-kurangnya satu contoh yang sesuai.
RUMUSAN
Guru perlu merancang reka bentuk pengajaran supaya pengajaran
guru akan menjadi lebih teratur dan
sistematik. Pemilihan jenis reka bentuk pengajaran amat penting kerana ia akan
menjamin pencapaian objektif iaitu murid telah menguasai kemahiran dan adanya
berlaku perubahan tingkah laku.
BIBLIOGRAFI
Mok Soon Sang (2006). Nota pengurusan pengajaran-pembelajaran.
Multimedia-ES Resources Sdn. Bhd.
Newby, T.J., Stepich, D.A., Lehman, J.D., Russell, J.D. (2006). Educational technology for teaching and learning. Merrill Prentice-Hall.
Noriati A.Rashid, et. al. (2009). Teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran. Shah Alam: Oxford
Fajar.
Wah Wan Ali et al. (2008). HBEM3103. Prinsip
teknologi pengajaran. Kuala Lumpur: OUM.
No comments:
Post a Comment